Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di Hotel Flamingo, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JUN 2018
Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di Hotel Flamingo, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Kekalahan dan penolakan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berpunca daripada hilangnya empat elemen penting dalam kepimpinan negara sebelum ini.

Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, tsunami rakyat menolak parti keramat yang memerintah negara sejak enam dekad lalu kerana tiada lagi elemen siddiq, amanah, tabligh dan fatonah dalam diri setiap pemimpin BN.

“Kenapa rakyat tolak kita? Mana-mana perjuangan atau parti politik, kalau diteruskan perjuangan ini, maka parti politik itu tidak boleh lari daripada kita membicarakan soal-soal pemimpin atau kepimpinan.

“Kalau kita mempunyai pemimpin yang mewarisi kepimpinan UMNO tapi lama kelamaan kita sudah hilang empat elemen penting dalam ciri-ciri kepimpinan,” katanya merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di sini, hari ini.

Johari selaku bekas Menteri Kewangan II berkata, pemimpin UMNO dihukum kerana hilangnya sikap berlaku jujur kepada diri sendiri dan rakyat yang memberikan amanah mentadbir negara pada penggal lalu.

“Kita kehilangan empat elemen iaitu ciri kepimpinan siddiq, iaitu bersikap jujur dengan diri kita dan juga kepada rakyat.

“Kita juga hilang sikap amanah terhadap tanggungjawab yang diberi kepada kita bagaimana kita menjaga teras amanah ini,” katanya.

Beliau juga mengakui kepimpinan negara terdahulu alpa dan tiada lagi sikap tabligh untuk mengajak orang ramai melakukan kebaikan dan menghalang kemungkaran.

“Kita hilang elemen tabligh, iaitu kita menyebarkan benda yang baik-baik kepada masyarakat, kita menghalang orang daripada melakukan perkara tidak baik,” katanya.

Katanya lagi, kepimpinan lama lupa tsunami akan berlaku dalam bandar yang dihuni oleh rakyat yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dan boleh menilai kepimpinan berkualiti untuk memimpin negara.

“Sikap fatonah, kita mesti mempunyai pemimpin yang bijaksana, intelektual, yang boleh menjalankan kepimpinan mereka ini untuk kita beri kepada kepimpinan negara

“Sebab itu kita kalah pilihan raya bukan sahaja kalah di parlimen Titiwangsa bahkan di ibu negara Kuala Lumpur

“Kalau tsunami nak berlaku, ia akan berlaku dalam bandaraya Kuala Lumpur kerana di sini menjadi pusat kepada mereka yang mempunyai intelektual, pendidikan, mereka yang boleh melihat dan menganalisa sama ada pemimpin itu mempunyai empat ciri itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette