KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar layak sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, kata bekas Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Senator Datuk Khairul Azwan Harun.
Sehubungan itu, beliau menyarankan 54 Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) agar segera menamakan Khairy sebagai Ketua Pembangkang, ketika sesi sidang Dewan Rakyat yang pertama bagi penggal ke-14 akan bermula 16 Julai ini.
“Tinggal 51 Ahli Parlimen dari UMNO, dua dari MIC dan seorang satu MCA. Kita perlukan yang boleh menegur kerajaan (Pakatan Harapan).
“Dalam UMNO memulihkan parti, tugas dan tanggungjawab sebagai pembangkang yang berwibawa juga menjadi tugas besar kepada kita,” katanya melalui Twitter beliau hari ini.
Mengikut peraturan Parlimen, Ketua Pembangkang dilantik dalam kalangan presiden parti sebagai pelantikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini.
Bagi UMNO, yang layak menjadi Ketua Pembangkang ialah Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – MalaysiaGazette