Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda bercakap kepada media pada Majlis Jalinan Kasih Silaturrahim Aidilfitri CUEPACS di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Cadangan agar penjawat awam menderma sebanyak RM10 kepada Tabung Pakatan Harapan hanyalah bersifat sukarela.

Malah, sumbangan itu tidak dipotong melalui gaji yang dibayar dan tidak ada paksaan untuk penjawat awam berbuat demikian, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.

“Cuepacs tidak boleh meminta kerajaan potong gaji penjawat awam. Kami tidak boleh berbuat demikian. Kami lihat perkara ini melibatkan kebajikan penjawat awam juga. Kalau sumbang RM10, niat kita adalah hendak membantu kerajaan.

“Kami tidak ekstrem. Ia secara sukarela. Ada masanya kita bantu kerajaan. Penjawat awam perlu sentiasa berada di pihak kerajaan hari ini.

“Kalau mereka nak bagi, bagilah, kita tak paksa. Kita buat ini sebab tak nak nanti ada pihak kata kenapa Cuepacs tak buat sebagaimana yang dilakukan oleh pihak-pihak lain,” katanya.

Azih berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Jalinan Kasih Silaturrahim Aidilfitri Cuepacs 2018 di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.

Beliau diminta memberikan reaksi tersebut selepas timbul kecaman di laman sosial apabila ada pihak dipercayai penjawat awam sendiri tidak berpuas hati dengan cadangan yang dikemukakan Cuepacs itu.

Berdasarkan pemerhatian, ada komen menuduh Cuepacs cuba ‘membodek’ kerajaan Pakatan Harapan yang baharu sahaja diangkat oleh rakyat untuk mentadbir negara ini.

Mengulas lanjut Azih berkata, cadangan tersebut juga tidak mempunyai kepentingan politik sebaliknya merupakan keputusan kongres yang bersidang pada 26 Jun lalu.

Katanya, Cuepacs tidak pernah merancang atau mahu memberi tekanan dan paksaan terhadap penjawat awam berhubung langkah memberikan sumbangan dalam membantu kerajaan memulihkan semula negara.

Isnin lalu, Cuepacs mencadangkan pemotongan RM10 gaji kakitangan awam pada bulan Ogos untuk disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia.

Cadangan itu turut akan dibawa kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa. – MalaysiaGazette