Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai SPRM dan anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Jenayah menuju ke Mahkamah Tinggi Jenayah selepas mendengar pembacaan pertuduhan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. fotp SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2018
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai SPRM dan anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Jenayah menuju ke Mahkamah Tinggi Jenayah selepas mendengar pembacaan pertuduhan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. fotp SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pecah amanah dan satu salah guna kuasa berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan meminta kes itu dibicarakan selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Soffian Abdul Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi itu menetapkan ikat jamin sebanyak RM1juta ke atas kesemua empat pertuduhan itu dengan dua orang penjamin, iaitu anak Najib sendiri iaitu Nooryana Najwa dan Ashman.

Mohd Soffian juga membenarkan permohonan peguam bela Najib, Tan Sri Mohammad Shafee Abdullah untuk membayar wang jaminan secara ansuran dua kali, masing-masing RM500,000 pada hari ini dan bakinya sebelum jam 3 petang, pada 9 Julai ini.

Mahkamah juga mengarahkan Ahli Parlimen Pekan itu menyerahkan kedua-dua pasport diplomatik hari ini.

Hakim menetapkan 19 hari bagi pengurusan kes pertama melibatkan bekas Perdana Menteri itu iaitu pada 18 hingga 28 Februari, 4 hingga 8 Mac dan 11 hingga 15 Mac 2019.

Hakim Mohd Soffian juga menetapkan 8 Ogos ini sebagai tarikh permohonan Mohammad Shafee untuk arahan interim menghalang merit kes Najib dilapor dan dibincangkan secara terbuka oleh pihak media.

Terdahulu Mohammad Shafee meminta mahkamah mempertimbangkan agar wang jaminan dikurangkan daripada RM4 juta kepada RM500,000 hingga RM800,000 bagi keempat-empat pertuduhan.

Ia susulan permintaan ketua pendakwaraya, Tommy Thomas memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM1 juta ke atas Najib bagi setiap pertuduhan.

Najib merupakan satu-satunya bekas Perdana Menteri Malaysia yang dihadapkan ke mahkamah berhubung pertuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah. – MalaysiaGazette