Seorang penyelam maut selepas menghantar bekalan oksigen kepada sekumpulan kanak-kanak dan jurulatih mereka yang terperangkap dalam gua Tham Luang, dekat Bangkok, Thailand.
Misi menyelamat pasukan bola sepak kanak-kanak dan jurulatih mereka yang terperangkap dalam gua Tham Luang, dekat Bangkok, Thailand semakin kehabisan masa.

BANGKOK- Seorang bekas tentera laut Thailand yang menyertai gerakan menyelamat 12 kanak-kanak dan jurulatih mereka mati selepas terperangkap di dalam sebuah gua yang dipenuhi air.

Saman Gunan, 38, tidak sedarkan diri dalam perjalanan keluar dari gua Tham Luang selepas menghantar bekalan oksigen.

“Tugasnya adalah menghantar oksigen tetapi malangnya dia sendiri tidak mempunyai bekalan yang cukup semasa dalam perjalanan pulang,” kata seorang pegawai.

Penyelam tersebut telah meninggalkan pasukan tentera laut namun menawarkan perkhidmatan untuk membantu pasukan penyelamat di dalam misi tersebut.

Gunan yang merupakan seorang pelari dan penunggang basikal tegar adalah sebahagian daripada anggota operasi menyelamat yang bermula sejak dua minggu lalu.

Menurut Timbalan Gabenor Chiang Rai, Passakorn Boonyaluck, Gunan meninggal dunia pada awal pagi Jumaat.

Kira-kira 1,000 orang terlibat dalam operasi tersebut termasuk penyelam tentera laut, anggota tentera dan sukarelawan awam.

Kematian Gunan mengesahkan lagi bahaya yang dihadapi dalam usaha pencarian tersebut.

Bagaimanapun menurut Komander SEAL Thailand, Apakorn Yookongkaew, pasukan berkenaan masih “percaya” untuk meneruskan tanggung jawab mereka.

Apabila ditanya bagaimana kumpulan itu mahu memastikan operasi tersebut berjaya sedangkan seorang penyelam berpengalaman pun tumpas, Apakorn berkata, mereka akan mengambil langkah lebih berhati-hati terhadap kanak-kanak berusia di antara 11 dan 16 tahun serta seorang jurulatih mereka yang berusia 25 tahun.

Menurut pihak berkuasa, mereka kini risau mengenai paras oksigen yang semakin menyusut di dalam gua yang mana kanak-kanak dan jurulatih mereka itu terperangkap.

Paras oksigen semakin merosot disebabkan terdapat semakin ramai orang berada di dalam rangkaian gua berkenaan, kata Gabenor Chiang Rai, Narongsak Osotthanakorn.

Pihak berkuasa sekarang sedang memasang kabel sepanjang lima kilometer ke dalam gua bagi membekalkan udara kepada kumpulan berkenaan.- MalaysiaGazette