Suasana di luar Gua Tham Luang, dekat Chiang Rai di mana operasi menyelamat yang terperangkap di situ dijangka disambung semula hari ini.
Suasana di luar Gua Tham Luang, dekat Chiang Rai di mana operasi menyelamat yang terperangkap di situ dijangka disambung semula hari ini.

BANGKOK – Para penyelam sudah bersiap sedia untuk memulakan semula operasi berisiko tinggi membawa keluar sembilan lagi mangsa yang masih terperangkap dalam Gua Tham Luang, dekat Chiang Rai.

“Operasi akan bermula pagi Isnin, bergantung kepada semua tangki-tangki udara dan semua sistem yang ada,” kata Gabenor Narongsak Osottanakorn.

Semalam, empat pelajar lelaki berjaya dibawa keluar selepas berada dalam gua berkenaan sejak 23 Jun lalu.

Bagaimanapun, misi menyelamat terpaksa ditangguhkan bagi menggantikan tangki-tangki udara.

Pasukan penyelamat memutuskan untuk meneruskan operasi sukar itu kerana bimbang paras air meningkat berikutan hujan.

Operasi menyelamat semalam berjaya dilakukan lebih pantas daripada yang dijangkakan.

Meskipun begitu, untuk masuk ke dalam gua dan membawa mangsa keluar adalah satu perjalanan yang penat, walaupun bagi penyelam berpengalaman.

Ini kerana, ia membabitkan proses berjalan, memanjat dan menyelam di sepanjang tali.

Para penyelam perlu memakai topeng muka kerana ia lebih mudah untuk penyelam berbanding menggunakan alat pernafasan tradisional.

Mereka juga perlu membawa setiap mangsa keluar, yang juga dilengkapi dengan bekalan udara.

Bahagian yang paling sukar adalah “T-Junction”, yang begitu sempit. Di sini, para penyelam harus membuka tangki udara untuk melepasi lorong tersebut. – MalaysiaGazette