Prof Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Kabinet dinasihatkan supaya meneliti dan menghalusi serta memberi pertimbangan yang betul berhubung usul pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Menyifatkan ia sebagai isu lapuk yang dipolitikkan, Prof Dr Teo Kok Seong berkata, isu ini perlu ditangani dengan rasional dan jujur kerana akan memberi implikasi yang besar kepada sistem pendidikan dan perpaduan negara serta keadilan kepada pelajar yang terlibat.

Beliau mengakui tidak faham mengapa pengiktirafan UEC diperbesar-besarkan dan dipertaruhkan dalam politik sedangkan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah pendidikan Cina swasta sudah tahu kesan dan akibatnya.

Jelas beliau, pada tahun 1960an, kerajaan telah menawarkan semua sekolah termasuk sekolah-sekolah swasta Cina untuk menyertai sistem sekolah kebangsaan tetapi 60 buah sekolah enggan menerima.

UEC dilaksanakan sejak tahun 1975 dan ibu bapa yang memasukkan anak-anak mereka dalam sekolah Cina swasta tahu anak mereka tidak boleh mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam, mahu pun bekerja sebagai penjawat awam.

“Mereka tahu kesan dan akibatnya tetapi itu jalan yang dipilihnya,” kata Kok Seng kepada MalaysiaGazette.

Beliau hairan mengapa isu UEC ini diperjuangkan sedangkan sejak awal lagi ada ibu bapa yang memilih untuk menolak sistem pendidikan kerajaan.

Sedangkan, pada masa sama ada sebilangan ibu bapa Cina yang akur untuk menerima dasar pendidikan negara dan setia sehingga anak-anak mereka tamat persekolahan mereka di peringkat Sijil Tinggi Pelajar Malaysia (STPM).

“Mengapa perlu diperjuangkan pengiktirafan UEC bagi mereka yang sudah menolak sistem pendidikan.

“Kalaulah UEC diterima, adakah Kerajaan Pakatan Harapan telah berlaku adil kepada pelajar-pelajar Cina yang memilih untuk bersama sistem pendidikan kebangsaan selama ini, walaupun keputusan mereka ada sebab-sebabnya.

“Adakah adil pelajar yang setia ini jika peluang mereka untuk melanjutkan pendidikan ke IPTA ditepis disebabkan pengiktirafan UEC?

“Sedangkan untuk ke IPTA tetap ada kuota untuk kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. Pastikah tiada yang tertindas nanti. Kalau yang tertindas, mereka itu juga adalah pelajar Cina,” kata Teo.

Katanya, pengiktirafan UEC juga akan membuka peluang sama kepada sijil-sijil lain seperti GCE, O Level dan sebagainya.

“Kalau ada permintaan untuk itu juga, mampukah kerajaan laksanakannya juga,” soal beliau.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching baru-baru ini memberi jaminan isu UEC akan diselesaikan sebelum hujung tahun ini.

Beliau berkata, isu UEC tidak perlu dibawa ke Parlimen, memandangkan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini mengiktiraf sijil A-level tanpa melalui perbahasan di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette