Aizat Amdan

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Aizat Amdan menjadi penyanyi kedua tanahair yang diikuti (following) Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Tun M selepas Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Ketika ini, Mahathir hanya mengikuti lapan orang sahaja di laman Instragram rasmi miliknya menerusi @chedetofficial dengan jumlah pengikutnya melebih 1.4 juta orang.

Semalam sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-93 pada Selasa, beliau memuat naik video ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakannya.

Apa yang mencuri tumpuan, video tersebut berlatar belakang lagu Harapan Menjadi Nyata nyanyian Aizat yang dihasilkan khas buat Perdana Menteri ketujuh itu.

Sebelum ini, Aizat yang juga penulis lirik memberitahu dia bakal mengeluarkan single terbarunya yang ditujukan khas buat Mahathir.

Bertajuk Harapan Jadi Nyata, single yang tersimpan selama hampir tujuh tahun tercetus daripada ilham kepimpinan dan perjuangan Tun M.

“Sejujurnya inspirasi lagu ini datang daripada ayah saya yang ingin menzahirkan perasaan hormat dan kagumnya kepada Tun M yang juga merupakan pemimpin idolanya.

“Lagu ini hanya untuk memberi penghormatan kepadanya setelah berjasa pada Malaysia begitu lama. Saya tidak sangka pula dia akan naik sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua.

“Sayangnya, ayah saya sekarang diserang penyakit strok. Saya pasti dia gembira dengan keadaan Tun sekarang. Kalau bukan sebab sakit, mungkin sekarang ayah saya pun turut aktif menyokong kepimpinan Tun,” katanya.

Tidak mempunyai niat untuk menerbitkan lagu berunsurkan patriotik, Aizat berkata, Harapan Menjadi Nyata satu simbolik kepada perubahan negara selepas pertukaran kerajaan baharu-baharu ini. – MalaysiaGazette