kedai runcit
Gambar hiasan. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 03 JANUARI 2017.

“Kami memerlukan lebih banyak maklumat mengenai pelaksanaan SST. Jika jelas, lebih mudah untuk orang ramai memahami SST berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” katanya pada taklimat Unjuran Peruncitan Pasca Pilihan Raya di Malaysia di sini hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini berkata cukai perkhidmatan ditetapkan sebanyak enam peratus apabila SST diperkenalkan semula, manakala cukai jualan sebanyak 10 peratus.

Rang undang-undang SST dijangka diluluskan pada Ogos, dalam tempoh persidangan semasa Dewan Rakyat, dengan rejim percukaian baharu itu akan dilaksanakan pada September.

Hai Shin menegaskan bahawa lebih banyak maklumat tentang SST perlu diumumkan kepada orang ramai bagi memastikan pemahaman yang lebih baik mengenai rejim percukaian itu bagi mengelak impak mengejut ke atas sektor peruncitan seperti yang dilihat semasa pengenalan GST.

“Kami juga berharap kerajaan akan mengumumkan dasar baharu ekonomi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Negara menyaksikan pertumbuhan yang paling teruk pada 2015, dengan sektor itu mencatat pertumbuhan 1.4 peratus, terendah sejak 2010, selain kemerosotan ketara mata wang,” katanya.

Mengenai SST, beliau berkata secara puratanya jualan runcit akan merosot dengan ketara dalam tempoh dua bulan pertama, walaupun momentum akan kembali normal mulai November bersempena cuti sekolah dan perayaan.

Bagi separuh kedua 2018, beliau berkata ringgit dijangkakan tidak meningkat dalam jangka terdekat, yang mendorong kepada kos import yang tinggi, terutama bahan mentah, barangan separuh siap dan produk akhir.

“Sistem harga baharu petrol juga akan memberi kesan ke atas kos sara hidup dan harga runcit,” katanya.-BERNAMA