KUALA LUMPUR –  Kerajaan digesa mengadakan mesyuarat khas khusus bagi membincangkan hala tuju dan permasalahan komuniti India di negara ini.

Ia juga selaras dengan komitmen kerajaan sekarang yang mengiktiraf kebajikan golongan itu sebagai agenda nasional, kata Naib Ketua Sayap Wanita Keadilan, G. Sivamalar.

Justeru, menurutnya, pasukan bertindak yang ditubuhkan khas oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengambilkira pembabitan pelbagai pihak bagi memastikan ia berkesan.

Sivamalar yang juga Ketua Biro Undang-Undang Sayap Wanita PH berkata, penyertaan komuniti setempat dan ahli akar umbi juga perlu diberi perhatian khususnya individu yang pakar agar segala isu berkaitan dapat ditangani secara menyeluruh.

“Saya melihat terdapat keperluan untuk pasukan bertindak ini dianggotai pelbagai lapisan kaum dan tidak terhad kepada masyarakat India semata-mata. Ia adalah isu nasional yang menggambarkan kegagalan kerajaan Barisan Nasional.

“Majoriti isu membabitkan pencabulan hak asasi manusia, justeru pasukan ini perlu dibarisi wakil pertubuhan hak asasi manusia yang lantang memperjuangkan isu berkenaan selama ini,” katanya kepada Malaysia Gazette di sini hari ini.

Mengulas lanjut Sivamalar berkata, adalah penting untuk PH bertindak mengamalkan prinsip kesamarataan jantina untuk memastikan setiap kes dapat ditangani secara telus.

“Senario yang sering berlaku selama ini adalah golongan wanita India diketepikan. Suara mereka tidak didengari dan hanya terbiar sepi,” ujarnya.

Selama bertahun lamanya kumpulan hak asasi manusia seperti Lawyers for Liberty, SUARAM, Majlis Peguam dan SUHAKAM lantang memperjuangkan pelbagai isu membabitkan komuniti India.

Antaranya  termasuk peningkatan jumlah mengejutkan untuk kes tahanan mati dalam tahanan, penyalahgunaan kuasa polis, layanan buruk pada tahanan dan penangkapan tanpa bicara di bawah Akta Pencegahan Jenayah, katanya.

Jelasnya, segala testimoni mangsa yang terselamat, anggota keluarga dan barisan pembela hak asasi manusia adalat amat bernilai untuk pasukan bertindak.

Sebelum ini, sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan oleh kerajaan untuk meneliti isu-isu berhubung golongan minoriti di Malaysia terutamanya komuniti India.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, selain isu berkaitan golongan minoriti komuniti India, pasukan petugas khas itu juga akan memberi fokus kepada golongan anak muda, golongan wanita dan juga Orang Asli. – MalaysiaGazette