Lokman bakal membuat kejutan dengan keputusan PRK 4 Ogos ini.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan dan penyokong Barisan Nasional berarak menghantar calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam menghantar borang pencalonan Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 21 JULAI 2018.

SHAH ALAM – Tidak timbul soal boikot atau penolakan akar umbi UMNO Bahagian apabila calon luar diangkat untuk mewakili parti dalam mana-mana pilihan raya termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, budaya boikot itu bukan lagi cara berpolitik UMNO bersesuaian dengan kedudukan parti itu kini sebagai pembangkang di negara ini.

“Kita mengambil pendekatan baharu, kita tak terikat kaki dengan cara politik lama, UMNO yang dulunya kalau calon luar tak boleh, boikot semua.

“Tapi dengan pendekatan baharu kerana kita sudah jadi parti yang bukan kerajaan lagi, bukan lagi keistimewaan kalau kita masuk bertanding, kalah sudah tentu, menang Insya-Allah.

“Pendekatan baharu kita nak calon yang kita kemukakan boleh dijadikan sebagai wakil parti untuk menyuarakan suara-suara dan masalah atau isu yang dihadapi oleh masyarakat,” katanya ketika ditemui media selepas Pengumuman Calon PRK Sungai Kandis, di pekarangan Dewan Bunga Tanjung, di sini, hari ini.

Beliau mengulas penularan watikah pelantikan Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam di media sosial yang mempersoalkan anak kelahiran Johor itu diangkat menjadi calon BN dalam PRK Sungai Kandis.

PRK Sungai Kandis dijalankan susulan penyandangnya, Mat Suhaimi Shafie, 49, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Subang kira-kira jam 11.10 pagi pada 2 Julai lalu.

Allahyarham selaku ADUN daripada PKR meninggal dunia akibat penyakit kanser limfoma selepas menjalani rawatan di SJMC sejak pertengahan Jun lalu.

Mat Suhaimi menjadi wakil rakyat di kerusi itu sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 selepas memenangi kerusi itu yang sebelum ini dikenali sebagai DUN Seri Muda.

Mohamad berkata, pemilihan Lokman sebagai calon BN berdasarkan penglibatannya sebagai aktivis termasuk terlibat dalam gerakan Reformasi pada 1999.

“Latar belakang Datuk Lokman sebagai aktivis masyarakat, reformasi dulu, beliau boleh membawa dan mengupas isu dengan baik.

“Saya harap pengundi di DUN Sungai Kandis dapat beri peluang kepada beliau untuk membawa suara rakyat. Kita pun nak tengok keluhan dan kegelisahan rakyat di media sosial dapat diterjemahkan,” katanya. – MalaysiaGazette