Datuk Md Alwi Che Ahmad

KOTA BHARU – Kelantan perlu mengadakan rundingan semula dengan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 kembali dibahaskan di Parlimen.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) dalam soalan tambahannya berkata kerajaan negeri pimpinan PAS berjaya meyakinkan Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) ketika itu untuk membawa perkara berkenaan menerusi rang undang-undang persendirian yang dibawa oleh anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Tak boleh ke kali ini, kita ‘test’ perdana menteri ketujuh (Tun Dr Mahathir Mohamad), kita buat apa yang kita boleh buat dan kita tengok apa yang mereka (Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan) boleh lakukan.

“Kita yakin rakyat bersama-sama kita untuk melihat sesuatu yang baik mengenai Islam,” katanya pada persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata Kerajaan Negeri akan mengadakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung perkara tersebut walaupun terdapat desas-desus yang mendakwa RUU355 tidak akan dibahaskan di Parlimen pada sesi kali ini.- BERNAMA