Sebuah lori disita dalam operasi pihak berkuasa.

BERA — Polis mengesahkan dua lelaki dipercayai Orang Asli ditahan dalam operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera (Ramsar), semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, kedua-dua lelaki berusia 61 dan 27 tahun itu ditahan selepas dipercayai memasuki kawasan berkenaan tanpa kebenaran dalam operasi bersepadu kira-kira jam 1.30 tengah hari, 23 September lalu.

Menurut beliau, operasi membabitkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Dalam operasi berkenaan, pihak penguat kuasa turut menyita sebuah lori bersama muatan sawit.

“Kedua-dua suspek dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47(1), Seksyen 15 dan Seksyen 81(1)(d) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkiflee berkata, kedua-dua lelaki itu turut ditahan kerana dipercayai enggan bekerjasama dengan pihak penguat kuasa selain menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang sah.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Lori dan muatan sawit berkenaan disita di bawah Seksyen 88 Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dibenarkan selama dua hari bermula hari ini sehingga 25 September bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, polis menerima sebanyak 32 laporan berkaitan isu pencerobohan tanah di Bera, sekali gus menunjukkan isu berkenaan turut mendapat perhatian pihak berkuasa.

Operasi bersepadu itu dijalankan susulan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti penerokaan di kawasan Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera yang merupakan kawasan Ramsar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here