GEORGE TOWN – Warga emas didenda RM4,000 oleh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencabul kehormatan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Ayer Itam, pada 17 September lalu.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh Yong Lip Fook, 85, mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama lapan bulan jika gagal bayar denda.
Mengikut pertuduhan, Lip Fook didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun dengan niat mencabul kehormatannya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam lif sebuah flat di Tingkat Paya Terubong, Ayer Itam di sini, jam 4 petang pada 17 September lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad manakala tertuduh diwakili Peguam Sharmila Shanthini Mogan.
Ketika prosiding, Ahmad Danial meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Sharmila memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya merupakan pesakit jantung, kencing manis dan darah tinggi selain tidak bekerja dan di bawah tanggungan anaknya.
“Selain itu, dia juga memberi kerjasama dengan hadir ke mahkamah serta berjanji tidak melakukan kesalahan itu lagi,” katanya.
Difahamkan, anak tertuduh membayar denda tersebut.
MalaysiaGazette difahamkan mangsa sering diganggu tertuduh yang merupakan jirannya. – MalaysiaGazette
















