Bangunan Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bakal jemaah haji musim 1448H/2027M boleh mula membuat persediaan ilmu apabila Lembaga Tabung Haji (TH) membuka Kursus Asas Haji (KAH) bermula esok dengan 12 siri kursus akan dilaksanakan di 200 masjid di seluruh negara.

TH dalam kenyataan memaklumkan, KAH merupakan antara program bimbingan haji yang memberi penekanan terhadap penguasaan ilmu asas ibadah haji dan umrah termasuk panduan praktikal bagi membantu bakal jemaah membuat persediaan awal dari aspek ibadah, kesihatan dan pengurusan diri sebelum ke Tanah Suci.

Bagi musim haji kali ini, pelaksanaan KAH di 200 masjid bertujuan memudahkan bakal jemaah serta orang awam mendapatkan bimbingan haji di kawasan berhampiran mereka.

Kursus berkenaan turut dibuka kepada orang awam yang ingin mendalami ilmu berkaitan ibadah haji.

TH menggalakkan semua bakal haji musim 1448H/2027M mengikuti KAH secara serius dan konsisten kerana modul pembelajarannya menjadi asas kepada kursus bimbingan seterusnya, iaitu Kursus Intensif Haji (KIH) dan Kursus Perdana Haji (KPH).

Menurut TH, persediaan menunaikan haji bukan hanya melibatkan aspek kewangan dan kesihatan, sebaliknya kefahaman ilmu yang mencukupi amat penting bagi memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Jadual dan maklumat lanjut mengenai KAH boleh disemak menerusi aplikasi THiJARI, laman web rasmi TH atau Pejabat TH berhampiran.

Bakal haji dan orang awam juga boleh mendapatkan bahan pembelajaran secara dalam talian menerusi platform e-Bimbingan Haji TH.

Dalam pada itu, TH mengingatkan bakal jemaah supaya membuat persediaan secara menyeluruh selaras dengan konsep ‘istito’ah termasuk menjaga kesihatan dan kecergasan, meningkatkan simpanan secara konsisten serta memastikan maklumat peribadi sentiasa dikemas kini.

Bakal haji turut disaran mengikuti saluran rasmi TH bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan persediaan dan pelaksanaan ibadah haji musim 1448H/2027M. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here