Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengadakan lawatan ke tapak cadangan Kompleks Sukan Wanita di Bandar Bukit Puchong, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 JULAI 2018

PUCHONG – Sebuah Kompleks Sukan Wanita bertaraf antarabangsa akan dibina selewat-lewatnya tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kompleks sukan yang akan dibangunkan di Bukit Puchong itu menggunakan keluasan tanah seluas 15 ekar.

Menurutnya, pembinaan kompleks berkenaan bertujuan memberi keselesaan kepada golongan wanita untuk beriadah di satu kawasan yang selamat dan tidak terdedah dengan ancaman jenayah.

“Wanita boleh menggunakannya sebagai satu tempat yang bebas dan mereka tidak rasa terkokong atau diperhatikan serta mempunyai privasi.

“Kita mahu berikan mereka ruang untuk beriadah sebagai cara hidup dan tidak sahaja tertumpu di rumah menjaga keluarga, rumah tangga atau berkerja.

“Selain itu ia juga mampu menjadi terapi untuk wanita dan mereka boleh berkongsi pengalaman antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan kompleks itu di sini hari ini.

Zuraida berkata, ia merupakan projek riadah pertama untuk golongan wanita yang akan dilaksanakan di negara ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan kos pembinaan projek berkenaan ekoran mahu mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan mengenai perkara itu.

Dalam pada itu Zuraida berkata, beliau berharap agar projek tersebut dapat direalisasikan secepat mungkin.

Katanya, untuk permulaan kompleks sukan wanita ini dibina di Selangor yang merupakan kawasan padat dan mungkin akan dibina di negeri-negeri lain pada masa akan datang.

Ujarnya, ia bergantung kepada keperluan dan lokasi kawasan untuk pembinaan kompleks itu. – MalaysiaGazette