Bandar Mati antara kawasan paling terjejas teruk akibat kebakaran. foto Reuters

ATHENS – Kebakaran besar yang melanda Athens hingga mengorbankan 83 orang mangsa awal minggu ini dipercayai ‘dimulakan dengan sengaja’.

Api merebak sejak Isnin lalu dan kini melanda kawasan perkampungan pantai popular dalam kalangan pelancong.

Seramai 60 orang masih dirawat di hospital, 11 di unit rawatan rapi manakala ramai lagi hilang.

Malah, pasukan penyelamat yang berada di bandar Mati turut menemui mayat manusia.

Sebilangan besar mangsa terperangkap dekat tebing apabila api merebak dengan cepat berikutan tiupan angin selaju 120 kilometer sejam.

Kebanyakan mangsa yang terselamat apabila berlari ke laut.

Menteri Perlindungan Rakyat, Nikos Toskas berkata, keadaan iklim panas di kawasan-kawasan yang terjejas dengan kebakaran itu memburukkan lagi keadaan yang berlaku akibat perubahan iklim ekstrem.

Terdahulu Menteri Pertahanan Yunani Panos Kammenos memberitahu BBC bahawa pembinaan haram telah menyumbang kepada bencana itu.

Beliau berkata, bangunan yang didirikan oleh penduduk di antara kawasan hutan adalah perbuatan jenayah kerana menghalang laluan. – MalaysiaGazette