Tan Sri Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan

KUALA LUMPUR – Apa yang berlaku selepas pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 harus menjadi pengajaran kepada kerajaan hari ini dalam pertimbangannya untuk memansuhkan undang-undang pencegahan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), kata bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan.

“Kita sudah mansuh ISA dan Ordinan Darurat (EO) dan pemansuhan itu menyebabkan peningkatan ketara dalam kes jenayah berat khasnya yang melibatkan kumpulan kongsi gelap yang berebut kawasan masing-masing.

“Saya tidak setuju kalau ia dimansuhkan, kalau boleh kaji dan teliti dahulu…tanpa SOSMA, POCA dan POTA kita tidak mampu mengekang aktiviti pengganas yang terlatih seperti kumpulan Daesh, kumpulan penjenayah terancang yang bersenjata lengkap dan ganas,” katanya dalam temu ramah eksklusif bersama Bernama, di sini.

Pada 22 Julai, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan memansuhkan undang-undang yang banyak menindas rakyat khususnya SOSMA. Turut dikaitkan dengan langkah pemansuhan itu adalah POCA dan POTA.

Bagi pegawai polis veteran ini, undang-undang pencegahan yang tegas perlu senantiasa ada untuk melindungi negara serta rakyat sekali gus menyekat pergerakan kumpulan ekstremis, kumpulan militan dan kumpulan jenayah terancang dewasa ini.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast