Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan campur tangan dalam isu Timbalan Ketua Menteri 11 Prof P. Ramasamy yang dikaitkan dengan dakwaan mempunyai kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil (LTTE).

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata perkara itu tidak perlu dilanjutkan dan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan siasatan.

“Tidak perlu campur tangan. Polis sudah campur tangan. Biar polis membuat kerja mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis graduasi Penang Skills Development Centre (PSDC) di sini hari ini.

Chow diminta mengulas tentang dua kumpulan yang mengadakan demonstrasi terhadap Ramasamy di hadapan bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) semalam.

Satu kumpulan demonstrasi itu pada Jumaat yang dihadiri kira-kira 50 penyokong menyatakan pendirian mereka menyokong Ramasamy serta turut mengadakan solidariti kepada timbalan ketua menteri itu yang dianggap “pengganas” oleh pihak tidak bertanggungjawab.- BERNAMA