Lokman beramah mesra dengan penduduk dalam DUN Sungai Kandis.
Lokman beramah mesra dengan penduduk dalam DUN Sungai Kandis.

SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam berpuas hati dengan sambutan dan jaminan yang diberikan masyarakat India dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kepadanya.

Beliau berkata, dengan jaminan itu, menaikkan lagi semangatnya dan jentera BN DUN Sungai Kandis untuk meningkatkan program bersama masyarakat di saat tempoh berkempen masih berbaki lima hari.

Bercakap kepada media selepas program walkabout bersama masyarakat India di Kampung Mohan, Batu 4 ½ di Jalan Kebun, hari ini, beliau yakin jumlah undi yang diperolehinya pada 4 Ogos ini meningkat dari jangkaan asal.

“Sebelum ini saya menyasarkan 20 hingga 30 peratus sahaja, tetapi selepas sembilan hari turun berkempen dari rumah ke rumah, berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat serta jaminan yang diberikan masyarakat India, sokongan terhadap saya meningkat sehingga 50 peratus.

“Rata-rata aduan dan kata hati yang saya terima daripada mereka ini ialah kekecewaan mereka kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji, walaupun sudah lebih 10 tahun memerintah Selangor,” katanya.

Menurut Lokman, kegagalan ketara kerajaan PH ialah menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, termasuk kegagalan wakil rakyatnya menangani isu-isu tempatan dan nasional yang berkaitan dengan kaum.

Katanya, kaum India di sini paling ramai yang tidak berpuas hati dengan kerajaan PH dan perkara itu dinyatakan mereka kepada jentera BN dari MIC.

Pada masa sama, jelas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu, sokongan ahli UMNO dan Pas juga amat diperlukan dengan memastikan semua yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, keluar mengundi pada 4 Ogos ini.

“Jika semua mereka ini keluar mengundi dan pertambahan daripada mereka yang kecewa dengan kerajaan PH, insya-Allah BN boleh menang dan semak dan imbang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Sepanjang program walkabout yang saya sertai ini, saya turut bertemu dan bercakap dari hati ke hati dengan ahli UMNO yang protes terhadap parti dan memberi undinya kepada calon lawan.

“Kali ini mereka berjanji tidak akan mengulangi kesilapan lampau dan akan kembali bersama parti pada 4 Ogos ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast