KUALA LUMPUR – Allianz Malaysia menjalinkan kerjasama dengan 11street untuk menawarkan produk-produk insurans yang boleh didapati menerusi platform beli-belah atas talian berkenaan.
Produk-produk tersebut adalah insurans kemalangan peribadi yang memberi persediaan terhadap perkara-perkara yang tidak dijangka pada setiap masa; Program Bantuan Jalan Raya yang menyediakan perlindungan komprehensif kepada pemandu apabila kereta mereka rosak dan Perlindungan Kediaman Pintar.
Ketua Inovasi dan Usahasama Digital, Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, Michael Fong berkata, kerjasama itu merupakan langkah proaktif untuk meningkatkan kesedaran umum tentang kepentingan perlindungan insurans dan menjadikannya lebih mudah diperoleh dan ditawarkan pada harga berpatutan.
Persatuan Insurans Hayat Malaysia berkata, kadar penembusan insurans pada masa ini kekal sekitar 56 peratus dengan hanya kira-kira 32 peratus rakyat negara ini memiliki lebih daripada satu polisi.
Dengan sasaran Bank Negara Malaysia untuk mencapai kadar 75 peratus penembusan insurans dan berpotensi melebihi 100 peratus menjelang tahun 2020, usaha sama antara Allianz dan 11street merupakan langkah penting dalam memastikan setiap rakyat Malaysia dilindungi.
Allianz dan 11street menawarkan tiga produk berbeza yang akan menyediakan perlindungan untuk kediaman, kereta dan paling penting, diri dan keluarga.
Untuk melanggan sebarang produk insurans ini, pengguna boleh layari Allianz Insurance Official Store di 11street.
Seorang ejen khusus akan menghubungi pelanggan dalam tempoh 3 hari untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi terbitan polisi perlindungan. – MalaysiaGazette