KLUANG – Seorang pembantu kedai makan maut selepas melanggar belakang sebuah lori yang berhenti di tepi jalan akibat tayar pecah di Kilometer 54, Lebuhraya Utara Selatan (arah utara), di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan tersebut pada pukul 2.10 petang yang melibatkan motosikal jenis Yamaha 16ZR ditunggang mangsa dan lori Hino.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku pukul 1.50 petang semasa lori dan motosikal berkenaan dari arah yang sama iaitu Johor Bharu menghala ke Kuala Lumpur.
“Sampai di tempat kejadian lori berkenaan mengalami kerosakan tayar belakang sebelah kanan pecah menyebabkan pemandunya telah memberhentikan lorinya di lorong kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pemandu berkenaan meletakkan kon di bahagian belakang lori dan secara tiba-tiba motosikal terbabit melanggar bahagian belakang lori tersebut.
Akibat pelanggaran tersebut katanya, mangsa, Muhammad Amiruzain Shamsud Din yang berusia 26 tahun dan beralamat di Senai, Johor Bahru cedera parah di bahagian kepala dan badan.
Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berkenaan yang berusia 25 tahun beralamat di Sungai Pelek, Selangor tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambah Bahrin, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















