SHAH ALAM – Calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni yakin pihaknya mengekalkan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak dapat mengekalkan atau menambah jumlah majoriti 12,480 undi yang dimenangi penyandang DUN itu, Allahyarham Mat Shuhaimie Shafie pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Menurutnya, selepas hampir 70 peratus menemui pengundi dalam kawasan itu selama 10 hari berkempen bermula pada hari penamaan calon 21 Julai lalu, beliau menjangka memperoleh majoriti sekitar 10,000 undi.
“Kekurangan lebih 2,000 undi lagi itu bukan berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam tetapi disebabkan mereka tidak keluar mengundi kerana selesa dengan kemenangan PKR selama tiga penggal.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka peratusan keluar mengundi 80 (peratus), tetapi berdasarkan pengalaman saya berada di bawah dan 10 hari kempen, peratusan itu mungkin 70 atau 75 peratus.
“Banyak sebab, antaranya kerana mereka baharu sahaja selesai mengundi pada PRU-14 lalu,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR, di Bukit Kemuning hari ini.
Menurut Mohd. Zawawi, kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turun berkempen di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN berkenaan semalam merancakkan lagi sokongan pengundi kepadanya.
“Selepas ini beberapa pemimpin pusat akan turun. Saya harap kehadiran mereka membantu berkempen untuk saya, akan memberi kemenangan besar kepada parti dan kerajaan Selangor.
“Jadual saya pun semakin padat dan saya berharap dapat bertemu dengan semua pengundi sebelum tengah malam 3 Ogos ini,” katanya.
Ditanya mengenai programnya di sebuah sekolah rendah di Jalan Kebun kelmarin sebagai menyalahgunakan kemudahan kerajaan negeri, Mohd. Zawawi berkata, beliau hanya singgah sekejap kerana kebetulan ada beberapa pengundi di situ.
Katanya, sebaik singgah, beliau diberi ruang untuk bertemu dengan pengundi dan dari situ dan di dispekulasikan oleh lawannya. – MalaysiaGazette