Menteri Luar Australia, Julie Bishop bercakap pada sidang media ketika berkunjung hormat ke Malaysia di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan Australia komited menyokong agenda reformasi yang akan dilaksanakan kerajaan baharu Malaysia pimpinan Pakatan Harapan.

Menteri Luarnya, Julie Bishop berkata, sokongan itu melibatkan bidang ekonomi, sosial dan polisi yang mampu memacu hubungan erat antara dua negara pada masa akan datang.

Beliau turut melahirkan rasa gembira dapat berada di negara ini selepas berlakunya peralihan pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei lalu.

“Malaysia telah melalui proses pilihan raya umum yang bersejarah dan Kerajaan Australia akan bergerak ke hadapan bersama kerajaan baharu.

“Kami akan meneruskan kerjasama dua hala sedia ada serta isu serantau dan antarabangsa yang membabitkan kepentingan bersama,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen di sini hari ini.

Julie kini berada di Kuala Lumpur untuk lawatan kerja selama tiga hari sejak semalam.

Selain Wan Azizah, Julie turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Bishop juga dijadual melawat Monash University di Bandar Sunway bagi meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan kampus itu di Malaysia.

Sementara itu, Wan Aziza berkata, lawatan Julie bakal membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka dan mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara.

Jelas beliau, ia meliputi di bawah Perkongsian Strategik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertahanan dan hubungan rakyat. – MalaysiaGazette