Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dibebaskan dengan jaminan polis semalam, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dibebaskan dengan jaminan polis semalam, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

KOTA KINABALU – Kertas siasatan berhubung kes laporan polis membabitkan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman hampir siap dan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, bagaimanapun terdapat sedikit tambahan percakapan perlu direkodkan untuk melengkapkan kertas siasatan itu.

“Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun telah mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung perkara itu dan setakat ini sahaja maklumat yang kita ada pada masa ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu di Kota Kinabalu hari ini.

Pada 14 Mei lepas, Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin membuat laporan polis terhadap Musa dipercayai berkaitan ugutan jenayah selepas upacara angkat sumpah jawatan ketua menteri.

Sebaik laporan polis dibuat, percakapan Juhar turut diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Dua hari kemudian, Shafie angkat sumpah

Musa telah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Juhar pada 10 Mei selepas memperoleh majoriti mudah.

Bagaimanapun, Datuk Mohd Shafie Afdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) dilantik sebagai Ketua Menteri dan mengangkat sumpah di hadapan Juhar dua hari kemudian (12 Mei) selepas beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN berpaling tadah kepada WARISAN.

Sementara itu, mengulas mengenai kebakaran yang memusnahkan lebih 300 rumah di perkampungan atas air Semporna, semalam Ramli berkata siasatan berhubung kejadian itu sedang berjalan.

“Saya dimaklumkan kebakaran di Semporna dipercayai daripada kebakaran sampah dan tiada unsur jenayah, bagaimanapun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah sedang menyiasat,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, bekas Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) (Kesejahteraan/Organisasi) Bukit Aman ACP Habibi Majinji dilantik Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu bagi menggantikan ACP M Chandra yang dilantik sebagai Ketua Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (START) Kontinjen Sabah.  – Bernama