Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan meninjau pondok panas BN di pusat mengundi dalam DUN Kandis hari ini.

SHAH ALAM – Hambar. Begitulah suasana sepanjang hari pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis dari jam 8 pagi hingga 4 petang ini.

Peratusan yang keluar mengundi setakat ini belum mencecah tahap 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar seramai 51,217 orang.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan peratusan itu menunjukkan pengundi DUN Sungai Kandis tidak bersemangat untuk keluar mengundi memilih wakil rakyat mereka pada PRK kali ini, berbanding lebih 60 peratus dicatatkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Katanya, cuaca sepanjang hari mengundi di 19 pusat mengundi adalah mendung pada sebelah pagi dan cerah sebelah petang, sekali gus tidak menghalang pengundi untuk keluar mengundi.

Sementara itu, pondok-pondok panas kedua-dua parti yang bertanding yang didirikan di luar pekarangan pusat mengundi juga agak lenggang dari kunjungan pengundi.

Jika peratusan itu kekal berkurangan, tidak mencapai sasaran 80 peratus sebagaimana dijangkakan, ada dua kemungkinan untuk calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam kalah dengan majoriti besar atau menang dengan majoriti tipis.

Ini diakui sendiri oleh Lokman kepada media ketika beliau turun membuat tinjauan di pusat-pusat mengundi sejak jam 8 pagi tadi.

Katanya, keputusan PRK ini, untuk tidak memihak kepadanya adalah besar, tetapi pada masa sama beliau yakin ada peluang untuk menang dengan majoriti tipis.

“Ada sebab kenapa peratusan keluar mengundi begitu kecil. Antaranya, pengundi menunjukkan protes mereka kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kedua, mereka berasa selesa dengan kemenangan PKR selama tiga penggal sebelum ini,” katanya.

Katanya, kadar peratusan yang rendah juga sebenarnya memberi kesan kepada calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni kerana sudah tentu tidak dapat mengumpul jumlah majoriti yang diperolehi penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimie Shafiei sebelum ini.

Pada PRU14 yang lalu, Allahyarham Mat Shuhaimie menang dengan majoriti 12,450 undi setelah mendapat 23,998 undi, menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari yang mendapat 11,518 undi, manakala calon Pas, Mohd Yusof Abdullah mengumpul 7,573 undi dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin mendapat 76 undi.

Beliau turut menyatakan rasa puas hati dengan proses pilihan raya kali ini berikutan beberapa perubahan yang dilakukan oleh SPR selepas ditekan oleh BN yang berdepan dengan kelemahan paling ketara berlaku pada PRU14. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast