KUALA LUMPUR – Kehangatan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU14) pada 9 Mei lalu dipercayai masih mempengaruhi minda pemilih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dalam membuat penentuan bagi memilih calon wakil rakyat mereka.
Penganalisis Politik, Prof Dr. Ramlah Adam berkata, meskipun kemenangan dicapai oleh Pakatan Harapan (PH) namun, majoriti yang diperoleh tidak seperti PRU yang lalu.
Menurutnya, ditambah pula apabila ramai pemilih yang layak tidak turun mengundi pada hari ini menyebabkan terdapat jurang perbezaan keputusan pilihan raya yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan keputusan tersebut dipengaruhi oleh ‘janji-janji’ kerajaan pemerintah yang belum tertunai hingga menyebabkan jumlah keluar mengundi tidak seperti yang diharapkan.
“Mereka melihat banyak janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan belum ditunaikan meskipun mereka sedar kerajaan baharu ini baru sahaja memerintah selama dua bulan.
“Saya fikir ada dalam kalangan mereka hendak mengundi BN tapi mungkin teringat kisah dahulu.
“Mungkin juga ada yang kecewa dengan Pakatan Harapan hingga mereka membuat keputusan tidak mahu mengundi,” katanya ketika dihubungi.
Dr Ahmad Tarmizi TalibSementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr Ahmad Tarmizi Talib berkata, PH tidak seharusnya berasa selesa dengan kemenangan yang dicapai di Sungai Kandis pada hari ini.
Katanya, terdapat lagi dua PRK dalam masa terdekat dan peratusan keluar mengundi yang rendah di Sungai Kandis dilihat sebagai isyarat rakyat terhadap janji-janji yang dibuat sebelum PRU lalu.
“Sepatutnya kepekaan mengundi ini lebih tinggi kerana banyak kemudahan seperti media massa dan sebagainya untuk mendapatkan maklumat.
“Ini mungkin tanda protes tak nak mengundi yang berbagai sebab sama ada kepada kerajaan atau protes terhadap parti politik itu sendiri,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau tidak hairan dengan keputusan PRK di Sungai Kandis kerana ia berlaku di dalam negeri Selangor yang sememangnya dikuasai oleh PH.
“Kita kena tahu PRK di Selangor ini memang begitu situasinya. Tapi kalau ia berlaku di negeri lain seperti di Kedah, Terengganu atau Pahang mungkin tidak begini.
“Tetapi perkara itu mungkin tidak dapat lagi dilihat pada PRK akan datang kerana ketiga-tiga PRK yang mana dua lagi akan datang masih berlaku di Selangor,” tambah beliau. – MalaysiaGazette