Che Abdullah Mat Nawi
Che Abdullah Mat Nawi

KUALA LUMPURĀ – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa tidak membuang masa untuk mengkaji semula pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang telah terangkum dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi 2016-2020.

Ahli Parlimen (Tumpat-Pas), Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, LPT3 yang menghubungkan tiga negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan perlu diteruskan demi manfaat kepada rakyat Kelantan.

“Pembinaan LPT Fasa 1 dan 2 telah berjaya diselesaikan masing-masing pada 2004 dan 2014. Namun, sehingga kini, lebuhraya tersebut masih tidak dihubungkan secara terus ke Kelantan.

“Ini menjadikan Kelantan satu-satunya negeri di Semenanjung yang tidak mempunyai lebuhraya. Saya berharap pembinaan LPT3 tidak dilupakan dalam penilaian pertengahan RMK11 dijangka dibentangkan oleh pihak kerajaan hujung tahun ini.

“Ini supaya hasrat rakyat di Pantai Timur khususnya di Kelantan yang telah lama menunggu dapat direalisasikan menjelang 2020 kelak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Projek pembinaan lebuhraya LPT3 yang menghubungkan tiga negeri Pantai Timur itu telah terangkum dalam RMK-11 (2016-2020) di bawah Strategi A1: “Mengutamakan Ketersambungan Wilayah Melalui Lebuh Raya Baharu”.

Ia menyebut bahawa penerusan pembangunan Central Spine Road, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, dan Lebuh Raya Pantai Timur akan menambah baik ketersambungan di Semenanjung Malaysia dan memangkin pertumbuhan di wilayah Pantai Timur.

Che Abdullah menggesa Kerajaan PH mempertimbangkan cadangan supaya pembinaan lebuhraya LPT3 diteruskan sebagaimana yang telah dipersetujui oleh kerajaan terdahulu.

“Ini menunjukkan secara dasarnya kerajaan terdahulu telah bersetuju dengan pembinaan LPT3 di mana ketika ini hanya melibatkan dua negeri Pantai Timur sahaja.

“Sewajarnya pihak kerajaan tidak mengkaji sesuatu yang telah dikaji dan diputuskan demi memberi manfaat kepada rakyat Kelantan yang telah sabar menunggu sejak sekian lama,” katanya. – MalaysiaGazette