KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) merencanakan untuk membuka semula kertas siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut Timbalan Pengerusi PAC yang baru dilantik, Wong Kah Woh, cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat pertama dan pengetahuan Pengerusi jhwatankuasa itu, Datuk Seri Ronald Kiandee.
“Sebagai permulaan kepada tugas yang diamanahkan, saya akan berbincang dengan Pengerusi PAC dan ahli-ahli PAC sebelum mereka dilantik supaya penyiasatan PAC terhadap skandal 1MDB dibuka semula.
“Laporan yang lebih komprehensif serta lengkap dengan mengambil kira keterangan-keterangan baru dapat dibentangkan ke Parlimen,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Dewan Rakyat hari ini memilih Ahli Parlimen Beluran (BN), Ronald sebagai Pengerusi PAC sebagaimana yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH), dalam manifesto untuk melantik Ahli Parlimen pembangkang menjadi pengerusi.
Pengumuman itu dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff sewaktu mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Pemilihan kedua-dua mereka sah selepas majoriti ahli Dewan Rakyat bersetuju dengan usul yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong semasa persidangan. – MalaysiaGazette