Mejar (B) Zaidi keluar dari Mahkamah Tentera Kuala Lumpur selepas dihukum buang kerja atas kesalahan isu dakwat kekal pada 12 Januari 2015.

KUALA LUMPUR – Rayuan bekas pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar (B) Zaidi Ahmad berhubung hukuman yang dikenakan ke atasnya pada Januari 2015 masih dalam proses mempertimbangkan permohonan itu oleh Kementerian Pertahanan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan, Mohd Azhar Mat Dali berkata, menteri telah mengambil maklum berkaitan permohonan yang dibuat oleh Zaidi berhubung keputusan pemecatan terhadapnya.

“Sehingga kini Mohamad Sabu masih dalam proses mempertimbangkan permohonan tersebut. Semua pihak adalah dinasihatkan agar bersabar sehingga keputusan rasmi diumumkan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas perkembangan terbaharu mengenai kes Zaidi, yang dipecat serta-merta oleh mahkamah tentera TUDM pada tahun 2015 selepas beliau mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 2013 mengenai isu dakwat kekal dan menyuarkan maklumat pertukaran kerja.

Yang Dipertua, Kolonel Saadon Hassan yang mengetuai panel lima anggota sebulat suara memutuskan hukuman itu terhadap Zaidi, tertakluk kepada pengesahan pegawai daripada pihak berkuasa pengesahan.

Zaidi yang sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Memerintah No. 12 Skuadron di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang didakwa gagal mendapat kelulusan daripada Kementerian Pertahanan untuk mengadakan sidang media mengenai isu dakwat kekal yang berkaitan dengan hal kerajaan di surau balai polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepala Batas, Pulau Pinang pada 1 Mei 2013.

Dia juga didakwa mendedahkan kepada akhbar maklumat kawat tumpangan keluar (surat pertukaran kerja) sebagai penyelidik ke Kuala Lumpur di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 3 Mei tahun sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa telah melanggar para 13 Perintah Majlis Angkatan Tentera (Permat) no. 13 1961.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 50(2) Akta Ang­katan Tentera 1972 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau mana-mana lebih ringan, termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast