Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di Hotel Flamingo, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JUN 2018
Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Johari Abdul Ghani kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang mengkritik pandangannya berhubung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tanpa membaca kenyataan beliau itu secara menyeluruh.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan itu berkata, bagi mereka yang intelek, rajin membaca (tidak hanya membaca tajuk sahaja) dan tidak berfikiran sempit, mereka akan faham bahawa mesej atau isu yang cuba dibangkitkan bukanlah semata-mata berkisar tentang mantan perdana menteri itu.

“Saya tidak pernah berlagak ‘suci’ seperti yang di dakwa oleh Nazir Hussin dan saya juga tidak meletakkan kekalahan UMNO di PRK Sungai Kandis semata-mata kepada Datuk Seri Najib.

“Saya sarankan Nazir Autar Hussain baca teks saya secara keseluruhan dan tidak hanya baca tajuk yang telah di ‘spin’ kan oleh akhbar dan portal media sosial.

“Kalau tak faham juga, datang jumpa saya untuk saya berikan pemahaman yang secukupnya. Sebagai Ketua Pemuda UMNO cawangan beliau boleh jumpa saya bila-bila masa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Johari menegaskan, apa yang dibangkitkan ialah kemungkinan kehadiran Najib dalam siri kempen yang membawa bersama beliau bebanan persepsi negatif merupakan suatu strategi yang tidak bijak kepada UMNO.

“Saya tidak pernah mengatakan yang Datuk Seri Najib telah bersalah dalam kes rasuah. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip, everyone is innocent until proven guilty (semua orang tidak bersalah sehingga terbukti bersalah),” katanya lagi.

Menurut, Johari membaca komentar Nazir terhadap pandangan terbukanya jelas menampak bahawa beliau tergolong dalam kalangan mereka yang masih belum bersedia merubah minda berpolitik dan berdialog melalui penulisan secara ilmiah tanpa menggunakan emosi berlebihan.

Ujarnya, calon-calon Barisan Nasional (BN) yang tewas bukan disebabkan tidak mepunyai kredibiliti, tidak berwibawa atau tidak berkhidmat pada rakyat sebaliknya mereka kalah atas sebab tsunami pengundi yang inginkan perubahan.

Malah, ia ditambah lagi dengan keinginan majoriti rakyat bandar yang sangat mendesak untuk menumbangkan kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib, katanya.

“UMNO perlulah benar-benar melihat kembali strategi kempen pilihanrayanya yang akan datang untuk menarik balik undi-undi yang hilang hasil perang persepsi yang telah berlansung beberapa tahun sebelum PRU-14

“Perjuangan hak dan kepentingan orang Melayu sahaja tidak cukup untuk menang.

“Sebagai sebuah parti nasional kepercayaan kaum bukan Melayu terhadap kita juga sangat penting untuk menjamin kemenangan pada PRU15 nanti. Janganlah kita menang sorak kampung tergadai,” ujarnya. – MalaysiaGazette