Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan selepas mencatat peningkatan sejak lima minggu berturut-turut berikutan belian asing yang berterusan.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew menjangka pelabur asing kekal menjadi pembeli bersih dalam pasaran ekuiti tempatan untuk tempoh terdekat sebulan atau lebih, dan terus mendorong indeks utama meningkat.

“Oleh itu, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan antara 1,823 dan 1,890 mata minggu depan berikutan pembelian berterusan daripada pelabur asing,” katanya kepada Bernama.

Pong melihat aliran masuk asing sebagai kitaran, terutamanya selepas pelabur antarabangsa melabur hampir RM12 bilion nilai ekuiti tempatan pada awal Mei lepas.

“Saya melihat ini sebagai tempoh peralihan berikutan dana asing menjadi pembeli bersih secara konsisten di Bursa Malaysia sejak tiga  minggu lepas,” katanya.

Ditanya bagaimana pembaharuan fiskal 100 hari pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mempengaruhi pasaran tempatan terutamanya dengan tarikh akhir 17 Ogos yang semakin hampir, Pong berkata, beliau tidak melihat sebarang impak kepada bursa tempatan pada masa ini.

“Saya tidak fikir manifesto 100 hari PH akan memacu pasaran tempatan buat masa ini, melainkan keputusan politik seperti pembatalan projek infrastruktur atau pembinaan tertentu dibuat, seperti yang berlaku sebelum ini, hanya itu kita dapat melihat impaknya kepada saham yang berkaitan.

“Bagaimanapun, (keadaan) itu sudah berakhir,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia diniagakan kebanyakannya tinggi antara 1,777.78 dan 1,812.69, disokong oleh belian asing yang berterusan, tetapi dihadkan oleh aktiviti pengambilan untung  pada Jumaat.

Indeks petunjuk pasaran melepasi paras psikologi 1,800 untuk ditutup pada paras tertinggi harian pada 1,804.73 mata pada Rabu dengan dana asing membeli saham tempatan bernilai RM229.6 juta, menjadikannya aliran masuk terbesar dalam sehari pada bulan ini.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI naik 25.66 mata kepada 1,805.75 daripada 1,708.09 sebelum ini.

Indeks FBM Emas meningkat 170.01 mata kepada 12,770.49 dan Indeks FBMT100 menambah 159.19 mata kepada 12,546.84.

FBM 70 menokok 126.41 mata kepada 15,588.78, FBM Ace naik 103.36 mata kepada 5,549.40 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 204.42 mata kepada 12,948.88.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan menokok 135.72 mata kepada 17,576.18, Indeks Perladangan meningkat 89.44 mata kepada 7,712.83, bagaimanapun Indeks Perusahaan susut 6.77 mata kepada 3,269.35.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 11.93 bilion unit bernilai RM11.07 bilion daripada 11.17 bilion unit bernilai RM10.70 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 7.52 bilion saham bernilai RM9.99 bilion daripada 6.65 bilion saham bernilai RM9.68 bilion.

Jumlah dagangan waran, bagaimanapun, merosot kepada 2.10 bilion unit bernilai RM509.46 juta daripada 2.20 bilion unit bernilai RM584.34 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 2.29 bilion saham bernilai RM573.79 juta daripada 2.31 bilion saham bernilai RM428.57 juta.– BERNAMA