Lombok
Kesan runtuhan struktur akibat gempa bumi kuat yang melanda Lombok baru-baru ini. foto ABC News

BUTTERWORTH – Rakyat Malaysia yang merancang untuk ke Lombok, Indonesia dalam masa terdekat diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan memantau perkembangan semasa di pulau peranginan itu.

Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya berkata, mereka juga diminta  mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan memaklumkan kepada Kedutaan Malaysia di sana.

“Setakat ini tiada masalah untuk rakyat Malaysia pergi ke Lombok cuma saya nasihatkan sebelum ke sana lebih baik pantau terlebih dahulu keadaan demi keselamatan mereka dan kami di Kementerian Luar juga sentiasa memantau situasi di Lombok.

“Lagipun dalam keadaan sekarang ini kalau boleh jangan ke sana lagi… saya difahamkan banyak runtuhan dan gegaran susulan masih berlaku kesan daripada gempa bumi sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penajaan korporat program sukan pelajar di Sekolah Jenis Kabangsaan Cina Aik Keow di Teluk Air Tawar di sini.

Pada majlis itu, sekolah berkenaan menerima sumbangan tiang gol, bola dan jaring untuk sukan bola keranjang.

Marzuki berkata, usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Lombok ekoran gempa bumi itu telah dibuat dan semua mereka berjaya dibawa balik ke negara ini dengan selamat.

“Apa yang saya difahamkan semua mereka sudah di bawa balik secara berperingkat sejak gempa bumi itu dan Kementerian Luar sekarang ini juga cuba mencari jalan untuk membantu Lombok.

“Kita mahu membantu membina semula infrastrukur yang rosak akibat bencana berkenaan dan pejabat Perdana Menteri sedang berusaha ke arah itu (membantu),” katanya.

Lombok Utara mengalami gegaran gempa bumi berukuran tujuh pada skala Richter yang turut dirasai di sekitar Pulau Lombok, Pulau Sumbawa, Pulau Bali dan Jawa Timur pada pukul 6.46 petang, Ahad lepas.

Sehingga kini, lebih 90 mangsa dilaporkan terkorban akibat bencana itu dan ratusan rumah serta bangunan runtuh. — BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast