KUALA LUMPUR – Penentangan yang dibuat oleh ahli Parlimen pembangkang terhadap Rang Undang-undang Perbekalan (Peruntukan Semula untuk 2018) merupakan strategi Barisan Nasional (BN) untuk mensabotaj kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Lim Guan Eng.
Jelas Menteri Kewangan itu, selagi dasar kerajaan PH tidak dilaksanakan maka perbelanjaan negara tidak akan dapat dijimatkan.
“Sekarang ini tanggungjawab saya sebagai Menteri Kewangan jika tidak diputuskan hasil negara terjejas dan kita menghadapi baki semasa defisit dan tidak harus dibenarkan berlaku,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Guan Eng berkata, BN pada akhirnya akan menyalahkan kerajaan Persekutuan apabila perbelanjaan negara gagal dijimatkan yang berpunca daripada penolakan parti pembangkang.
“Mungkin pembangkang mahu ini berlaku untuk mengkritik dan menentang kerajaan baharu.
“Di sini memang satu permainan bukan sahaja nakal tertapi jahat sebab nak sabotaj dasar kerajaan dan ekonomi negara,” tambahnya.
Justeru Guan Eng (Bagan- PH) mahu semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Negara termasuk wakil Barisan Nasional (BN) menyokong RUU perbekalan peruntukan semula 2018 dan SST agar kerajaan dapat menjalankan tugas tanpa halangan.
Ia akan menjadi simbolik kepada penghormatan terhdap mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya yang lalu.
“Adakah sebelah sana (BN) boleh beri jaminan akan sokong perkara ini, sampai Dewan Negara, wakil sebelah sana pun perlu sokong juga,” katanya lagi.-MalaysiaGazette