KUALA LUMPUR – Komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak menghidapi sakit mental tetapi sesuatu penyakit dalam otak, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.
Katanya, jika golongan LGBT menjalani pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) akan menunjukkan sesuatu dalam otak mereka yang mendorong hormon untuk cenderung kepada jantina tertentu.
“Berkenaan LGBT memang bukan semua berkenaan sakit mental ada sebahagian besar LGBT penyakit dari segi hormon atau penyakit dalam otak di mana memang kajian MRI boleh menunjukkan sesuatu dalam otak menyebabkan mereka bertindak sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahmad Amzad Mohamed (Kuala Terengganu-Pas) adakah golongan LGBT menghadapi penyakit mental.
Isu LGBT terus menjadi perhatian apabila anak Perdana Menteri, Datin Marina Mahathir menunjukkan solidaritinya kepada dua aktivis kumpulan yang mahukan hak kesamarataan diberikan kepada golongan kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, seorang doktor perubatan, Dr. Nur Ilyani Mohamed menerusi Facebook membidas tindakan Marina.
Bukan Nur Ilyani sahaja, malah sebelum ini Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mahu akidah anak Perdana Menteri itu disiasat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) gara-gara pandangannya terhadap LGBT.
Justeru Lee yang juga Ahli Parlimen Gopeng (Pakatan harapan) menyeru agar golongan LGBT tidak dianggap sebagai kumpulan yang mempunyai sakit mental.
“Jangan kita anggap LGBT ini sebagai seorang sakit atau mengalami penyakit mental ini tanggapan tidak betul,” tambahnya. – MalaysiaGazette