Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap semasa sesi sidang media selepas selesai mengadakan sesi perjumpaan bersama kepemimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi membincangkan beberapa perkara dan hala tuju pertubuhan dan pembangunan belia di Malaysia di Bilik Mesyuarat MBM, Wisma Majlis Belia Malaysia, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 OGOS 2018
Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap semasa sesi sidang media selepas selesai mengadakan sesi perjumpaan bersama kepemimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi membincangkan beberapa perkara dan hala tuju pertubuhan dan pembangunan belia di Malaysia di Bilik Mesyuarat MBM, Wisma Majlis Belia Malaysia, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 OGOS 2018

KUALA LUMPUR- Selepas hampir dua minggu mengeluarkan kenyataan persatuan belia adalah macai Barisan Nasional, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil memohon maaf dan mengakui kesilapan beliau membuat kenyataan tersebut secara pukul rata sahaja.

“Saya meminta maaf kerana pukul rata di mana saya rasa tidak betul kalau semua anak muda dipanggil macai.

“Kenyataan itu harus ditujukan kepada kepimpinan anak muda yang memberi sokongan terbuka (dengan mengatakan) tanpa UMNO atau Pemuda UMNO tidak akan wujud persatuan belia tersebut. Kenyataan yang sama juga (ditujukan) kepada pimpinan Belia 4B yang lain.

“Majlis Belia Malaysia (MBM) juga mengakui kesilapan kerana membuat sokongan kepada Barisan Nasional semasa pilihanraya umum yang lepas dan kedua-dua pihak menerima kesilapan secara hati yang terbuka,” katanya semasa sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan MBM di sini hari ini.

Tambah Syed Saddiq, mana-mana persatuan belia selepas ini tidak perlu menyatakan sokongan terbuka kepada kerajaan Pakatan Harapan semasa pilihanraya seperti yang dilakukan mereka kepada kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

“Di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang baharu, semua bantuan akan disalurkan seperti biasa dan pihak MBM tidak perlu memberi apa-apa sokongan kepada kepimpinan Pakatan Harapan.

“Kalau boleh saya tidak mahu kerana saya lebih rela jika mereka mengkritik, memberi cadangan dan menyokong mengikut dasar.

“Ini kerana setiap ahli, setiap kepimpinan ada perkara yang mereka setuju dan tidak setuju.

“Bab inilah yang harus dititik beratkan,” katanya.

Pada 2 Ogos lalu, Syed Saddiq menggelarkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) belia seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan MBM sebagai macai politik ketika sesi bahas di Parlimen.

Kenyataan tersebut mengundang pertikaman lidah di antara ahli-ahli Parlimen BN dan beberapa persatuan belia menggesa menteri termuda itu memohon maaf.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan hubungan di antara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak baik.

Katanya, pada pertemuan Jumaat lalu, beliau sempat berbual dengan Anwar sebelum pemimpin tertinggi PKR itu bertemu Perdana Menteri.

“Hubungan mereka baik. Di dalam politik, memang ramai yang mahu menyaksikan perpecahan tetapi insya-Allah, hubungan mereka baik,” katanya. – MalaysiaGazette