Muhammad Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Sekretariat Protes AES (ProtAES) mengucapkan tahniah kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kerana membatalkan semua saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dikeluarkan kerajaan terdahulu sejak September 2012.

Timbalan Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil juga mengucapkan terima kasih kepada jemaah menteri yang bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan untuk membatalkan semua saman berkenaan.

Katanya, penghapusan saman AES itu tidak dijanjikan dalam Manifesto Harapan, tetapi ianya merupakan harapan pengguna keseluruhannya sejak AES diperkenalkan.

“Jelas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil pandangan rakyat dan melaksanakannya walaupun ianya bukan janji dalam manifesto.

“Kementerian juga turut mengumumkan pelaksanaan AES akan diambil alih dan dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 1 September 2018,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Anthony pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini menyatakan, sebanyak 3.1 juta saman yang dikeluarkan di bawah AES bernilai kira-kira RM435 juta telah dibatalkan serta merta.

Selain itu, katanya, sistem berkenaan yang beroperasi di bawah dua syarikay iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd akan diambil alih sepenuhnya oleh JPJ mulai 1 September ini.

Menurut Muhammad Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, turut meminta menteri menjelaskan apakah kaedah pelaksanaan AES di bawah JPJ

“Setakat pengumuman itu, kami ingin mengambil peluang ini untuk meminta penjelasan dan memberikan beberapa cadangan untuk perhatian kementerian, Antaranya, adakah kamera itu akan beroperasi seperti biasa di lokasi sedia ada dan adakah kaedah pengeluaran saman terhadap pengguna dikekalkan?” soal beliau.

Katanya, berdasarkan data dan maklumat pihaknya, lokasi pemasangan kamera AES bagi had laju bukan di kawasan kemalangan maut, sebaliknya jalan lurus yang tidak pernah selama pelaksanaannya dibuktikan melalui rekod dan data mengenai jumlah kematian di kawasan berkenaan.

“Kesimpulannya, pemasangan kamera AES had laju di kawasan berkenaan lebih kepada untuk menjerat pengguna.

“Justeru, cadangan kami, kementerian melalui JPJ perlu mengkaji semula lokasi pemasangan kamera AES di lokasi terbabit dan memasang di lokasi yang betul-betul kawasan kemalangan maut.

“Sehingga kajian tersebut selesai dijalankan, pelaksanaan AES di lokasi sedia ada ditangguhkan terlebih dahulu. Ini bagi meningkatkan pematuhan peraturan dan undang-undang oleh pengguna,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Faiz mencadangkan agar pengeluaran saman kepada pengguna hanya setelah dua kali amaran dikeluarkan, manakala yang melakukan kesalahan kali pertama, hanya notis makluman kesalahan dikeluarkan.

“Bagi kesalahan kedua, notis amaran dikeluarkan dan apabila kesalahan ketiga baharu notis saman dikeluarkan. Ini bagi memberikan pengajaran dan pendidikan kepada pengguna bahawa mereka telah didapati melakukan perlanggaran peraturan dan undang-undang dan tidak melakukannya lagi.

“Saman hanya kepada pengguna yang telah melakukan kesalahan kali ketiga setelah makluman kesalahan dan amaran dikeluarkan,” katanya. – MalaysiaGazette