KUALA LUMPUR – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) hari ini melancarkan Misi Bantuan Pasca Banjir Pantai Timur 2024 yang bertujuan untuk membantu komuniti yang terjejas akibat bencana banjir Monsun Timur Laut (MTL) baru-baru ini.
Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Nasaruddin Shamsuddin menyempurnakan majlis pelancaran bantuan pasca banjir terbabit bertempat di Ibu Pejabat PPM, Jalan Hang Jebat di sini dengan turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Ahmad Sabri Saad.
Nasaruddin dalam ucapannya menekankan tentang keperluan untuk membuat persediaan rapi sebelum memulakan misi bantuan banjir ke Pantai Timur.
Beliau pada masa yang sama menasihatkan sukarelawan sentiasa memantau perkembangan cuaca melalui laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan berhati-hati semasa menjalankan tugas bagi menjamin keselamatan pasukan tersebut.
“Misi bantuan kemanusiaan ini tertumpu kepada usaha pasca banjir seperti membersihkan rumah-rumah yang terkesan serta menyalurkan bantuan keperluan asas kepada mangsa-mangsa yang terjejas dalam banjir.
“Sukarelawan PPM digalakkan untuk melaksanakan tugas ini dengan penuh keikhlasan dan semangat kemanusiaan,” katanya.
Tegas beliau, penglibatan aktif sukarelawan dalam kalangan ahli pengakap di seluruh negara adalah bukti keprihatinan pihaknya terhadap aspek kebajikan masyarakat.
Beliau turut memuji semangat kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh pasukan Humanitarian & Response Team PPM yang diketuai Pesuruhjaya Kebangsaan, Zakaria Zawawi dalam menyumbangkan tenaga dan masa demi membantu mangsa banjir.
“Misi ini menggambarkan komitmen PPM untuk terus menyumbang kepada masyarakat dalam waktu krisis dan membantu proses pemulihan bagi mereka yang terjejas dalam bencana banjir.
“Semangat perpaduan dan kesiapsiagaan yang ditunjukkan oleh pasukan Pengakap kita ini diharap dapat membantu mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur,” ujarnya.- MalaysiaGazette