PUTRAJAYA –  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari ke-100 pemerintahan Pakatan Harapan (PH) mengakui barisan kabinetnya masih memiliki sifat-sifat pembangkang dan mengambil masa untuk menyesuaikan diri sebagai pemerintah.

Beliau berkata perkara itu berlaku berikutan peralihan kerajaan selepas 61 tahun pembangkang tidak dapat mendirikan kerajaan.

“Dan dengan itu, mereka mempunyai sifat pembangkang.

“Apabila jadi kerajaan, dan sifat-sifat lama itu masih muncul serta mempengaruhi fikiran mereka. Tetapi dalam masa pendek juga, mereka sudah membuat ‘adjustment’ (penyesuaian) dan sekarang ini sedar jadi pemerintah,” katanya.

Dr Mahathir, yang memimpin PH untuk membentuk kerajaan baharu berikutan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, berkata demikian pada Majlis Penyerahan Felo Perdana Tahun 2018 di Perdana Putra di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga merupakan alumni Felo Perdana 2015, menteri-menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Seramai 60 peserta kumpulan keenam program Felo Perdana yang bermula sejak 2013, akan menempatkan diri dalam pelbagai kerjaya serta jawatan penting termasuk diambil bertugas di pejabat-pejabat menteri kabinet selama enam minggu hingga tiga bulan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast