Musa Aman ketika menerima rawan di The Clementine Churchill Hospital, London.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Musa Aman akan pulang ke tanah air selepas menerima rawatan di The Clementine Churchill Hospital, London.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu telah membuat keputusan akan kembali ke tanah air walaupun tindakan ini bertentangan dengan nasihat doktor pakar yang merawat beliau di sana.

Bagaimanapun, Pegawai Khas beliau, Joh Wid memberitahu, Musa perlu dirujuk ke Mount Elizabeth, Hospital Singapura untukĀ  rawatan susulan.

Hospital itu ialah hospital yang memegang rekod perubatan beliau sejak 30 tahun lalu.

“Di hospital ini baru saya mengetahui bahawa beliau pernah melakukan beberapa prosedur rawatan pembedahan pintasan jantung dan perlu terus melakukan pemeriksaan susulan bagi memastikan keadaannya stabil,” katanya sambil menegaskan bahawa Musa tidak melarikan diri tetapi beliau memerlukan rawatan.

Perkara itu didedahkan melalui Facebook beliau.

Menurut Wid, beliau kagum dengan prinsip Musa yang tidak pernah mendedahkan kepada umum tentang sakitnya semasa menjadi Ketua Menteri.

“Beliau tidak mahu memperlihatkan pemimpin sebagai orang yang lemah. Mungkin jika ini didedahkan ia akan menjejaskan keyakinan rakyat, parti pimpinannya, malah mungkin pelabur asing terhadap reputasi kedudukan politik dan ekonomi negeri Sabah.

“Setelah isu perlantikan Ketua Menteri yang lalu, beliau merasa inilah masa yang sesuai untuk beliau berehat dan menerima rawatan yang terbaik untuk kesihatannya.

“Kini, tiba masanya dia akan pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri tanpa paksaan mana-mana pihak,” ujar Wid.

Tambahnya, Musa sanggup korbankan kepentingan kesihatan dirinya sendiri demi negeri Sabah.
Kata Wid, melawat Musa di hospital London dan mengiringinya pulang cuma pengorbanan kecil buat bekas pemimpin Sabah itu,

“Biarpun pengorbanan ini tidaklah sebesar mana, mungkin tidak cukup untuk membalas jasa baik beliau yang telah memberikan peluang kepada saya belajar. Sama-sama kita doakan semoga Tan Sri cepat sembuh seperti biasa dan diberi kekuatan,” tambahnya. – MalaysiaGazette