KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan, anggota pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjadi pegawai pengiringnya hanya berkhidmat untuk sementara waktu sahaja.

Ahli Parlimen Sembrong bagaimanapun berkata, beliau telah menawarkan mereka untuk bekerja dengannya jika mereka meletakkan jawatan dalam tentera.

“Mereka cukup rapat dengan saya sekeluarga dan telah berkhidmat sekian lama. Mereka dengan saya hanya sementara.

“Saya telah menawarkan kerja tetapi jika mereka terima maka mereka harus berhenti dari Angkatan Tentera Malaysia dengan serta-merta,” kata bekas Naib Presiden UMNO itu di Twitter hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang mengarahkan siasatan terhadap dua anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) dan seorang komando ATM yang masih berkhidmat di bawah Hishammuddin sebagai pegawai pengiringnya.

Sumber mendedahkan, ketiga-tiga anggota pasukan khas ATM itu sepatutnya tamat berkhidmat dengan Hishammuddin selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.

Mohamad pada masa berjanji tindakan yang sesuai akan diambil terhadap ketiga-tiga anggota pasukan khas ATM itu jika didapati melanggar sebarang peraturan.

Pegawai berkenaan dilaporkan berkhidmat dengan Hishammuddin sejak beliau menjadi menteri pertahanan pada 2013. – MalaysiaGazette