Aishah menjuarai program Gegar Vaganza musim keempat.

KUALA LUMPUR – Hampir setahun bersabar, penyanyi Janji Manismu iaitu Aishah mendedahkan dia masih belum menerima hadiah berupa sebidang lot tanah banglo yang dijanjikan selepas menjuarai program Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Lebih mengejutkan, Aishah, 53, turut memberitahu, hadiah barangan kemas yang bernilai RM80,000 tajaan usahawan terkenal, Datuk Seri Vida tidak mempunyai nilai.

“Yang berkilauan tak semestinya berlian, yang dijanjikan dan digebang-gebangkan seantaro dunia adakalanya hanya ‘janji manismu’ sahaja hahaha.

“Adakalanya nak dapatkan hak yang dah dimenangi pun punyalah banyak helah. Yang dah diberi tengok-tengok (rupa-rupanya) cuma berkilauan tapi tak ada harga pun.

“Kalau buat rumah banglo dalam lapan bulan dah siapkan? Kalau banglo kecil rasanya dah lama siap tapi tanah tiada, tanahnya mana?” tulis Aishah di Instagram miliknya.

Tahun lalu, Aishah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 selain hadiah sampingan sebidang lot tanah banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas dan baucer beli-belah berserta trofi.

Sementara itu, Aishah turut meluahkan rasa hati apabila tahap kesabarannya semakin menipis tambahan pula sudah memberi peluang kepada pihak penaja untuk memberi reaksi atau membetulkan keadaan namun hampa.

“Kesabaran dah mula menipis. Yang bercita-cita nak jadi anak seni fikirlah banyak-banyak kali dulu, tidak semudah yang difikirkan.

“Kalau pun hadiah tambahan boleh main-main tipu-tipu je ke? Saya benar-benar tidak faham cara sebegini…. Salahkah I bersuara?” soalnya.

Mengenai tanah lot, Aishah berasa terkilan kerana hadiah itu sebenarnya pembakar semangatnya untuk berjuang dalam pertandingan itu.

Jelas Aishah, dia masih menunggu bahagiannya daripada harta pusaka arwah ibu dan bapanya yang masih belum selesai sehingga ke hari ini.

“Cerita tanah ni yang membuatkan I tersentuh sangat kenapa? Berpuluh tahun I menunggu pusaka arwah ibu dan ayah yang tak diselesaikan (31 tahun lebih tepat) tapi saudara sedarah sedaging tidak menjalankan amanah sehingga hari ini.

“Bukan sikit-sikit tanah pusaka tapi malang tak diselesaikan. Bila I dapat tahu salah satu hadiah GV5 adalah tanah lot banglo I cukup bersemangat.

“Sasaran I masa dapat tahu hadiah tanah tu was to be in the top three. Cita-cita di usia begini nak buat rumah setingkat (kaki sakit nak panjat tangga), rumah orang pencen bukan nak buat istana pun.

“Bila masalah timbul, benar-benar menitiskan air mata I… Mungkin rumah baru yang I impikan itu enam kaki ke bawah je untuk I… Wallahu a’lam,” tulisnya panjang lebar.

Aishah yang menyandang gelaran juara membawa pulang hadiah seperti wang tunai berjumlah RM100,000, satu lot tanak tapak banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM6,000 berserta piala.

Di tempat kedua, Liza Hanim pula menerima hadiah wang tunai RM50,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Turki, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM5,000 serta piala.

Pemenang ketiga menjadi milik Lan Solo yang menerima wang tunai RM30,000 tajaan Astro dan Qu Puteh, sebidang tanah lot, pakej percutian ke Boracay di Filipina, baucar beli-belah bernilai RM4,000 dan piala. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast