KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dasar kerajaan terdahulu yang mengamalkan pasaran terbuka dalam industri otomotif membuatkan Proton tidak berjaya untuk bersaing dengan pembuat kereta import.

Ujar Dr Mahathir, oleh kerana itu Proton tidak berdaya saing kerana turut disekat untuk memasuki beberapa negara pengeluar kereta import.

Jelasnya dasar pasaran terbuka yang diamalkan kerajaan terdahulu tidak adil kepada Proton kerana disekat untuk memasarkan produk mereka.

“Kalau ikut pengguna sahaja, maka mereka buka kepada pasaran kereta asing di mana kereta ini boleh dijual dengan banyaknya di Malaysia. Dengan itu kereta Proton pun merosot.

“Dulu Proton kuasai 80 peratus pasaran tapi kini hanya 17 peratus sebab kita buka pasaran kepada negara-negara lain di mana mereka tidak membenarkan kereta kita masuk ke dalam pasaran mereka.

“Kita disekat di dana tapi kita buka pasaran yang luas kepada mereka,” katanya menjawab persoalan daripada peserta dialog sempena Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sebentar tadi.

Tambah beliau, Malaysia perlu belajar daripada negara-negara pengeluar kereta seperti Jepun, Korea Selatan dan China yang berusaha untuk melindungi industri otomotif mereka.

“Sebenarnya negara seperti Jepun, China, Korea Selatan dan Eropah melindungi perusahaan mereka, kita di Malaysia yang cukup pegang kepada pasaran terbuka.

“Sebab itu hari ini kita lihat lebih banyak kereta asing daripada Proton. Itu terjadi kerana pilihan pengguna. Tetapi kalau kerajaan pula, kita ingin bangunkan negara kita,” katanya. -MalaysiaGazette