Panglima Angkatan Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi pada Majlis Pemakaian Pangkat Leftenan Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi sebagai Panglima Angkatan Tentera Darat ke-27 di Auditorium Wisma Pertahanan Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 03 SEPTEMBER 2018.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM.

KUALA LUMPUR – Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim menyerahkan tugas sebagai Panglima Tentera Darat kepada Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dalam sebuah majlis yang diadakan di Auditorium Wisma Pertahanan hari ini.

Dalam majlis itu, Ahmad Hasbullah akan memulakan tugas sebagai Panglima Tentera Darat yang ke-27 berkuatkuasa hari ini.

Majlis disusuli dengan acara pemakaian pangkat dan menandatangani Sijil Serah Terima Tugas antara Zulkiple dan Ahmad Hasbullah.

Upacara pemakaian pangkat dan serah terima tugas telah disempurnakan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang hadir menyempurnakan majlis serah terima tugas tersebut dengan diiringi oleh Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Habidin.

Terdahulu, pada sebelah pagi, acara perbarisan penghargaan Panglima Tentera Darat Zulkiple telah diadakan di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini yang melibatkan kontinjen perkhidmatan tentera darat.

Zulkiple telah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada Disember 2016 dan bersara wajib pada 23 Februari lalu.

Majlis ditamatkan dengan acara tradisi send off dengan street lining sebagai tanda penghargaan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada khidmat dan jasa bakti Zulkiple sepanjang bergelar Panglima Tentera Darat.

Ahmad Hasbullah yang merupakan anak kelahiran Kuala Kangsar Perak ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Disember 1981.

Sepanjang kariernya, Ahmad Hasbullah telah melaksanakan tugas tugas pemerintahan, staf pasukan dan markas formasi serta sebagai jurulatih.

Beliau juga berpengalaman terlibat secara langsung memerangi ancaman komunisvdi sempadan tanah air sehinggalah perletakan senjata Parti Komunis Malaya (PKM) pada 2 Disember 1989.

Bercakap di majlis kemudiannya, Hasbullah berterima kasih kepada Yang Dipertuan Agong Sultan Muhammad V yang memperkenan pelantikannya selepas disokong Mohammad Sabu.

“Hari ini amanah tugas saya terima untuk memimpin Tentera Darat seperti yang diterima. Tentera Darat akan terus taat setia dan bekerjasama dalam apa jua agenda kerajaan dan yang dibertanggungjawabkan.

“Taat setia kami tentera darat tidak akan berubah kepada pemerintah tertinggi kerajaan,” katanya semasa berucap pada majlis yang sama. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast