KUALA LUMPUR – Pelakon Fouziah Gous kini berhijab selepas bergelar hajah dan selamat menunaikan ibadat haji di Tanah Suci, baru-baru ini.
Penampilan terbaharu wanita itu dapat dilihat menerusi laman Instagram suaminya @zhafyusof yang memuatnaik gambar penampilan bertudung Fouziah ketika mereka sedang berada di sebuah pantai peranginan.
Foto tersebut menarik perhatian peminat yang turut memuji kecantikan Fouziah dan beranggapan pelakon yang popular dengan drama Trilogi Cinta itu sememangnya sudah mengenakan hijab.
Fouziah, 35, dan suami, Zhafran Yusof, 35, berangkat ke tanah suci di Mekah pada 16 Ogos lalu dan pulang ke Malaysia pada Sabtu lalu.
Namun sehingga kini Fouziah atau nama sebenarnya, Nor Fouziah Mohd. Gous belum memberi sebarang kenyataan mengenai penampilan tersebut.
Malah, di laman sosial milik ibu kepada dua anak ini juga tiada sebarang foto terbaharu mengenai imej terbaharu yang dimuatnaik. – MalaysiaGazette