Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya peluang untuk Barisan Nasional (BN) bangkit semula sebagai Kerajaan Pusat dalam waktu terdekat jika mampu menambah undi dan menurunkan majoriti undi calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Balakong Sabtu ini.

Pengerusi BN itu berkata, selepas PRU 14 pada 9 Mei lalu dan 100 hari berlalu penyesalan mula kelihatan pada wajah rakyat kerana mengundi kerajaan baharu PH.

Katanya, referendum berkenaan merupakan platform memberitahu selama ini PH gagal memberi imej baharu terhadap kerajaan baharu dan kepimpinan baharu ini.

“Rakyat selepas 100 hari, sedar janji janji yang gagal ditunaikan PH dan akan menolak nanti selain memahami hanya parti BN sahaja mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang memperjuangkan nasib rakyat.

“Saya yakin jika kita dapat ,menurunkan undi calon PH dan mengurangkan majoriti serta mempertingkatkan undi kita (pembangkang), ia adalah signal kuat bahawa kita akan bangkit semula sebagai kerajaan satu ketika nanti dalam waktu terdekat,” katanya selepas melawat Bilik Gerakan calon MCA Tan Chee Teong di Batu 11 Cheras di sini.

Tambah beliau, PRK Balakong adalah pentas untuk menentukan BN dan MCA terus relevan dengan mempereratkan kerjasama rakan-rakan komponen dan NGO.

Ujarnya, walaupun PRU13 dan PRU 14 menyaksikan jumlah undi popular diperolehi PH dengan pelbagai representasi di Balakong, tetapi peluang untuk pembangkang cukup besar kerana kesedaran rakyat terhadap janji-janji tidak tertunai.

“Kita akan perjelaskan kepada pengundi dan masyarakat di Balakong selepas kebencian yang ditanamkan lawan selama dua puluh tahun terhadap MCA, UMNO melekat di hati rakyat.

“Dalam PRK ini, kita tidak meniru istilah menang atau kalah yang penting bagi kita jika kita dapat menurunkan jumlah undi dan majoriti kepada calon PH, itu kemenangan moral kepada kita.

“Saya juga melihat tiga PRK di Selangor berturut turut secara kebetulan selepas PRU adalah satu isyarat tuhan yang memperlihatkan kita meletakkan calon UMNO di Sungai Kandis, Pas di Seri Setia dan MCA di Balakong.

“Ia satu ujian Maha Esa terhadap keakraban kita (UMNO dan MCA) yang akan terus terjalin dengan rakan baharu (Pas),” katanya.

Beliau yakin calon MCA, Tan Chee Teong akan menerima sokongan dan undi daripada pengundi Melayu, Cina dan India serta Pas untuk mewakili mereka ke Dewan Undangan Negeri Selangor.

“Saya cukup kagum walaupun kewangan isu ketiga dalam PRK, calon kita seolah-olah bukan seperti pembangkang, bersemangat turun mendekati permasalahan rakyat termasuk infrastruktur tanpa kelunturan moral.

“Saya percaya Chee Teong calon terbaik yang boleh membawa suara penduduk Balakong ke kerajaan negeri nanti,” tegas beliau. – MalaysiaGazette