Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Presiden Penaja Parti Pribumi Putra Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali mengecam tindakan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang melewat-lewatkan kelulusan partinya.

Ujarnya, semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), ROS telah meluluskan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak kurang daripada tempoh sebulan, namun beliau terkilan dengan tindakan badan itu yang masih gagal meluluskan partinya.

“Parti yang saya tubuhkan ini, tidak ada boleh ancam mana-mana pihak. Parti ini tidak akan ancam parti politik lain, parti ini dipimpin yang tidak ada apa pun.

“Bagilah lulus secepat mungkin, saya merayu paling lambat dua minggu lagi,” katanya dalam sidang media di pejabat Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), hari ini.

Putra yang didaftarkan pada 13 Ogos, sehingga kini ia masih belum diluluskan.

Parti ini ditubuhkan berteraskan sebagai alternatif kepada orang Melayu pasca Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) bagi memperjuangkan kepentingan kaum Melayu dan agama Islam.

Dalam pada itu, Ibrahim Ali berkata, beliau kecewa dengan kenyataan bekas ketua polis negara, Tun Hanif Omar yang menyatakan orang Melayu hari ini sudah menjadi penakut.

Katanya, orang Melayu diajar untuk tidak bertindak membabi buta dalam membuat pertimbangan, namun jelasnya kaum majoriti itu tidak akan teragak-agak untuk bertindak sekiranya kepentingan mereka diganggu gugat.

“Saya bila baca Tun Hanif, orang Melayu sudah menjadi penakut, saya mula persoalkan diri saya. Adakah saya penakut dan saya rasa terkilan.

Sekiranya Islam diperkotak katikkan, dan kita tidak buat apa-apa kerana kita dikatakan bangsa penakut. Kita diajar tidak bertindak sewenangnya. Mana ada orang Melayu persoalkan kegiatan penganut agama lain, katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan Hanif di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berkata orang Melayu tidak berani mempertahankan hak mereka.

Hanif berkata, siaran akhbar Cina terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng disifatkan sebagai satu ancaman dan wajar diprotes.

“Orang Melayu tidak takut. Kita keturunan pahlawan, cuma punyai budi pekerti yang baik. Orang rampas bumi pun tidak kisah.

“Orang mempersoal azan di masjid, orang Melayu boleh bersabar, bukan takut tapi keselamatan negara harus dijaga,” katanya lagi. -MalaysiaGazette