Diantara orang ramai beratur bagi membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 08 SEPTEMBER 2018.

PETALING JAYA – Hari ini penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia akan membuat penentuan sama ada mengekalkan calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar atau calon Pas, Dr Halimah Ali sebagai wakil rakyat mereka.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu, penduduk di sini hanya mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama dua bulan 24 hari, sebelum wakil rakyat mereka, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia 2 Ogos lalu akibat kanser usus.

Serentak kekosongan kerusi berkenaan, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengumumkan berlaku pilihan raya kecil di DUN itu dengan menetapkan tarikh 18 Ogos hari penamaan calon dan 8 September hari mengundi.

Seramai 53,492 pemilih dalam DUN Seri Setia layak mengundi mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018 yang dikemaskini sehingga 2 Ogos lalu.

Bagaimana kadar keluar mengundi pada sebelah pagi agak perlahan apabila SPR hanya merekodkan 28 peratus sehingga jam 12 tengah hari ini.

Trend ini tidak jauh berbeza dengan peratusan keluar mengundi pada jam 12 tengah hari bagi PRK DUN Sri Kandis 4 Ogos lalu sebanyak 27 peratus.

Peratusan yang kecil ini jelas membimbangkan SPR yang tidak menolak kemungkinan stastistik 49.4 peratus di DUN Sungai Kandis berulang di Seri Setia.

Lebih meresahkan keadaan ini ialah kedua-dua calon bertanding, yang sudah tentu mengharapkan peratusan keluar mengundi di Seri Setia melebihi daripada Sungai Kandis.

Selama 23 hari, iaitu tempoh berkempen paling lama dalam sejarah pilihan raya kecil yang ditetapkan SPR, telah digunakan sebaik mungkin oleh Halimey dan Dr Halimah bersama jentera masing-masing untuk mendapatkan sokongan pengundi.

Halimey, contohnya, setiap kali turun berkempen, tidak pernah lekang daripada mulutnya mengajak orang ramai keluar mengundi pada 8 September, selain menggunakan saluran Jabatan Penerangan dan risalah.

Namun, nampaknya pengundi memandang dingin dengan PRK kali ini, yang kemungkinan ada dua faktor kenapa mereka melengah-lengahkan keluar mengundi atau tidak keluar mengundi.

Faktor itu, pertamanya, mereka baru mengundi pada PRU14 yang jaraknya tiga bulan, dan kedua, mungkin pengundi sudah cuak dengan memilih pemimpin atau wakil rakyat yang aktif ketika berkempen, tetapi ‘menghilangkan’ diri selepas menang.Walaupun SPR membuat pelbagai perubahan termasuk menambah jumlah pusat mengundi dan saluran, namun, pengundi masih mengambil sikap ‘biarkan’ apa yang berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast