Pengasuh wanita berusia 39 tahun yang direman 14 hari membantu siasatan kematian bayi, Adam Rayqal Mohd Sufi yang berusia 5 bulan 3 Julai lalu dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang untuk pendakwaan. foto AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2018
Pengasuh wanita berusia 39 tahun yang direman 14 hari membantu siasatan kematian bayi, Adam Rayqal Mohd Sufi yang berusia 5 bulan 3 Julai lalu dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang untuk pendakwaan. foto AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini menetapkan 12 Okt ini bagi sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, bayi lima bulan yang mayatnya ditemukan dalam bahagian sejuk beku peti ais, Julai lepas.

Hakim Rasyihah Ghazali menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie memaklumkan bahawa laporan DNA dan bedah siasat mangsa belum diperoleh.

“Terdapat dua lagi laporan belum disiapkan, laporan DNA dan laporan ‘post mortem’ (bedah siasat). Bagi laporan DNA, jurukimia berada di luar negara. Saya mohon tarikh sebutan lain untuk mendapatkan kedua-dua laporan tersebut,” kata Nurul Ain semasa sebutan semula kes itu.

Pada 13 Julai lepas, Noor Aqilah Abd Rahman, 33, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya bayi itu sehingga menyebabkan kecederaan pada kepala dan melupuskan mayat mangsa dengan menyembunyikan kematiannya.

Noor Aqilah yang diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff hadir di mahkamah ditemani seorang wanita.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi itu telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan pada kepala, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wanita itu juga dituduh telah melupuskan mayat Adam Rayqal dengan niat menyembunyikan kematian supaya dia terlepas daripada hukuman, mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di rumah sewanya, di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves di Kuala Lumpur antara 6.20 dan 6.50 petang, 3 Julai 2018.

Pada 3 Julai lepas, Adam Rayqal dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves di sini sebelum mayatnya ditemukan anggota polis dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah sama, lewat malam hari kejadian.

— BERNAMA