Brig Jen (B) Mohamed Arshad Raji.

KUALA LUMPUR – Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mahu tindakan diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan pakaian seragam dan tradisi tentera.

Presidennya, Datuk Mohamad Arshad Raji berkata, penyalahgunaan itu merupakaan satu penghinaan terhadap angkatan tentera.

Menurutnya, ahli-ahli sukarelawan yang berpakaian seperti pakaian seragam tentera semasa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melakukan ‘kawalan hormat’ mengejutkan Patriot.

Beliau merujuk majlis perasmian Muktamar Pas yang berlangsung di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Pakaian No 1 tentera hanya dipakai semasa upacara atau majlis penting.

Adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana indivdiu yang tidak menyertai tentera memakai pakaian atau sebarang tanda yang menyerupai yang digunakan oleh tentera.

Menurut Mohamad Arshad, kesalahan itu tertakluk di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Katanya lagi, upacara kawalan kehormat dalam tentera dan polis dilakukan dalam pakaian acara rasmi yang biasanya dilakukan sebagai tanda menghormati Raja, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan jeneral-jeneral.

“Ia tidak boleh digunakan oleh mana-mana organisasi dengan cara yang boleh menghina tradisi tentera,” katanya. – MalaysiaGazette